BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, April 25, 2011

█▓▒░► ● BERITA● ◄░▒▓█

Sempena Hari Air Sedunia : ABASS Mahu Rakyat Lebih Bertanggungjawab


PUTRAJAYA : Air adalah keperluan seharian, namun keadaan semasa menjadikan sumber air bersih semakin sukar diperoleh tambahan proses merawatnya juga semakin rumit.


Mengambil tanggungjawab menjelaskan hal itu, Konsortium Abass Sdn Bhd (ABASS) hari ini mengadakan hari terbuka untu menerangkan kepada masyarakat terutama golongan muda dan pelajar mengenai proses rawatan air bagi penghasilan air terawat yang berkualiti tinggi.


Penganjurannya juga diadakan sempena sambutan Hari Air Sedunia 2011 peringkat kebangsaan.


Program yang diadakan di Loji Pembersihan Air Sungai Semenyih ini dihadiri kira-kira 300 pelajar di sekitar Selangor dan Putrajaya. Turut serta ahli Kelab Sukan dan Rekreasi Perangsang Selangor.


Menurut Pengurus Kanan, Perhubungan Awam dan Kerajaan ABASS, Sazli Mohd Salleh, para pengunjung diberi taklimat prosedur-prosedur dan kaedah-kaedah rawatan air minuman.


“Pendedahan kepada golongan muda ini amat penting bagi menerangkan kepada mereka kerumitan dalam penghasilan air minuman yang bersih serta berkualiti serta mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Perjanjian Konsesi.


“Selain itu, pendedahan dan maklumat ini penting bagi menyedarkan masyarakat tentang pentingnya menjaga sumber-sumber air agar ianya terpelihara dari pencemaran agar ianya mudah untuk dirawat,” katanya.


Menurut Sazli orang ramai perlu mengetahui cara memproses air dari sungai dan cara rawatannya bagi memberi kesedaran kepada mereka akan kepentingan menjaga kebersihan sungai di negara ini.


“Mendidik masyakat menjaga sumber air sejak dari rumah atau kilang cukup penting kerana bahan-bahan yang tidak diperlukan terpaksa ditapis sebelum proses rawatan dilakukan,” katanya.


Pengunjung-pengunjung juga berpeluang melawat ruang pameran, menyertai kuiz am dan juga aktiviti-aktiviti berkaitan air minuman.
Konsortium ABASS adalah syarikat yang membekalkan air terawat kepada pengguna-pengguna di Putrajaya, Cyberjaya, Sepang, Hulu Selangor Kuala Langat dan Petaling.

Peruntukan RM10.65 Juta Untuk Tingkatkan Bekalan Air Dirawat Di Miri


MIRI, 11 April (Bernama) -- Dana berjumlah RM10.65 juta telah diperuntukkan bagi fasa pertama projek menyalurkan sumber air dari Batang Baram ke dua loji rawatan di sini dalam usaha meningkatkan bekalan air dirawat di Miri.
 Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Kettha) Datuk Seri Peter Chin berkata projek itu adalah bahagian permulaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk memenuhi peningkatan permintaan air dirawat di Miri menjelang 2020.Fasa pertama projek itu membabitkan pembinaan saluran paip sepanjang 6.6 kilometer dari Batang Baram sehinggalah ke loji rawatan di Sungai Liku dan Bakong di sini, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kettha Bersama Pelanggan di sini Isnin.
  "Kami mahu memastikan penduduk Miri tidak akan berdepan kekurangan bekalan air terutamanya semasa musim kemarau panjang seperti sebelum ini," kata Chin, yang juga Anggota Parlimen Miri.Beliau berkata satu lagi projek yang sedang dilaksanakan di Miri ketika ini ialah loji rawatan kumbahan pusat berharga RM20 juta yang terletak di Tudan, kira-kira 20 kilometer dari bandar raya ini.
  Projek itu yang dijangka siap menjelang Jun tahun ini akan menambah baik sistem rawatan kumbahan di bandar raya ini untuk menggantikan kaedah tangki septik individu yang digunakan sekarang, kata Chin.Beliau berkata kementerian itu turut bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Miri (MCC) untuk menggantikan lebih 17,000 lampu jalan 'high sodium' dengan lampu 'Light Emitting Diode (LED)' mulai tahun ini.
  "Ketika ini, majlis bandar raya itu mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan yang lain seperti JKR (Jabatan Kerja Raya) dan Sesco Sdn Bhd (syarikat pembekal elektrik Sarawak) berhubung isu berkaitan kadar dan bidang kuasa sebelum mereka boleh meneruskan projek itu," katanya.
Selain MCC dapat menjimatkan bil elektrik dengan banyak, Chin berkata perkara yang lebih penting ialah mereka boleh menyumbang ke arah penjimatan penggunaan tenaga dan menjadikan Miri sebuah bandar raya mesra alam.
-- BERNAMA

█▓▒► ● Kempen Kesedaran Penjimatan Air● ◄▒▓█

Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi (KTAK) dengan kerjasama Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) sedang menjalankan Kempen Kesedaran Penjimatan Air Peringkat Kebangsaan selama 24 bulan bermula dari Julai 2006 sehingga Jun 2008. 
Objektif utama kempen ialah mempertingkatkan kesedaran pengguna dalam penjimatan air secara rasional dan mempromosikan penjimatan air menerusi pemberian maklumat kepada pengguna serta mendidik mereka dalam isu-isu yang berkaitan dengan penjimatan air serta penggunaan lestari seperti mengurangkan pencemaran air, penggunaan semula dan ‘Penuaian Air Hujan’. 
  Kempen ini mensasarkan penjimatan air di Malaysia yang akan dinilai melalui pengurangan penggunaan air sektor domestik sebanyak 10 peratus yang akan dinilai selepas tempoh kempen berakhir.Kempen ini telah pun dilancarkan secara rasminya pada 31 Julai 2006 di Hotel Nikko, Kuala Lumpur. Pelancaran kempen disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri, Dato’ Seri Dr. Lim Keng Yaik di majlis yang dihadiri oleh wakil syarikat dan operator bekalan air seluruh negara, wakil-wakil media dan pelajar-pelajar sekolah. Semasa hari pelancaran ini juga, maskot kempen iaitu ‘Kapten Aquair’ juga diperkenalkan kepada umum. 
Sepanjang tempoh kempen berlangsung, aktiviti giat dijalankan secara berterusan dan berperingkat-peringkat dan kini telah pun memasuki fasa kedua kempen. Promosi penjimatan air secara berperingkat dengan mengedarkan kalendar, ‘sahabat air info pack’, barangan seperti topi, t-shirt dan risalah-risalah tentang cara-cara menjimatkan air dan mengelakkan pembaziran.
  Pada 22 Mei 2007, pelancaran semula kempen dengan kerjasama FOMCA telah diadakan di Berjaya Times Square sempena Sambutan Hari Air Sedunia yang juga telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri, Dato’ Seri Dr. Lim Keng Yaik.
  Kempen yang akan berakhir pada Jun 2008 diharapkan membuahkan hasil yang diharapkan dan mencapai sasaran 10 peratus pengurangan penggunaan air sektor domestik. Hasil kerjasama semua pihak, kementerian, agensi-agensi berkaitan, operator-operator bekalan air seluruh negara, serta individu khususnya pengguna, dengan kempen yang berterusan, kesedaran betapa pentingnya mengelakkan pembaziran air untuk kepentingan masa hadapan.